Islam membawa perubahan dalam sistem pendidikan. Selepas kedatangan Islam
golongan bawahan menerima pendidikan yang sarna seperti golongan atasan. Sistem
pendidikan yang bermula di istana mula beralih ke beberapa institusi pendidikan Islam
seperti pondok dan madrasah. Tradisi keilmuan yang ditekankan oleh Islam telah
mengembangkan pula tradisi pendidikan dan pengajaran secara lebih tersusun.
Dorongan belajar bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan kitabkitab.
Golongan pemerintah dan pembesar-pembesar berperanan penting dalam
mengembangkan ilmu pengetahuan.
Melalui sistem pengajian ilmu tersebut lahirlah para cendiakawan dan ulamaulama
Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara
tokoh-tokoh Melayu yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan
Hasan Wan Ishak dan ramai lagi (Hashim Hj. Musa, 2004 : 46). Tokoh-tokoh ini telah
banyak menyumbang ke arahperkembangan ilmu pengetahuan di Tanah Melayu.
Dalam bidang intelektual dan keilmuan, Islam memberi kedudukan yang begitu tinggi
dengan memperkenalkan metod ilmu berteraskan ilmiah dan rasional sejajar dengan
tuntutan Islam. Keilmuan rasional dan intelek yang diperkenalkan oleh Islam adalah
pendekatan baru dalam cara berfikir iaitu meninggalkan sesuatu yang bersifat tahyul
serta memuja sesuatu yang bersifat estetik, kepada sesuatu yang mementingkan akal,
pemahaman ilmu metafizik serta pandangan hidup yang munasabah pada akal yang
sihat (Rasid Muhammad, 1996 : 140).
Kedatangan Islam membawa pengaruh yang besar terhadap sistem pendidikan. Di
Melaka contohnya, aktiviti pendidikan berlangsung di istana yang juga berfungsi sebagai
perpustakaan atau tempat penyalinan dan terjemahan. Di samping itu tempattempat lain
yang digunakan sebagai tempat pengajian ialah rumah-rumah ulama, masjid, madrasah
dan surau. Kebanyakan guru-guru agama pula terdiri dari bangsa Arab. Ilmu-ilmu yang
dipelajari ialah ilmu usuluddin, fiqh dan tasawwuf Kitab-kitab utama yang menjadi
pegangan masyarakat di Melaka ketika itu ialah aI-Oar al-Manzum oleh Abu Ishak aIShirazi,
Ihya Ulumuddin oleh al-Ghazali dan Minhaj al- Talibin oleh al-Nawawi.
Bersama dengan kedatangan Islam di mana-mana sahaja maka berkembanglah ilmu
pengetahuan dan pendidikan. Di Melaka sendiri, sultan yang pertama bermula dari
Megat Iskandar Shah (1414M) hingga sultan-sultan terakhir sebelum 1511M, begitu
mengambil berat tentang perkembangan pendidikan. Pengajian Islam tidak sahaja
berlaku di rumah-rumah, masjid-masjid dan surau-surau, bahkan juga di istana sultan.
Ulama-ulama asing yang datang ke Melaka sejak awal hingga zaman kejatuhannya
seperti Makhdum Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Qadi Yusuf, Qadi Menus, Qadi
Menawar Syah, Maulana Sadar Johan, Maulana Jalal aI-Din dan lainlain bukan sahaja
dijadikan sebagai seorang guru bahkan diberi kedudukan yang tinggi dalam hierarki
sosial di Melaka, setaraf dengan pembesar dan pentadbir (Abdullah Ishak, 1990 : 142).
Bahasa Dan Kesusasteraan
Bahasa Melayu telah menerima pengaruh ajaran Islam bermula abad ke-14 Masihi dan
berkembang sehingga akhir abad ke-18 Masihi. Pada awal abad ke-14 kedudukan
Agama Islam semakin teguh dan penyebarannya semakin meluas di Asia Tenggara.
Bukti keteguhan kedudukan Agama Islam di daerah ini dapat dilihat daripada kewujudan
penggunaan tulisan Jawi oleh orang-orang Melayu ketika itu. Pada era kerajaan Melayu
Melaka (1400-1511M) misalnya, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca bagi
lapan puluh empat bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Melaka ketika itu. Tahap
perkembangan bahasa Melayu daripada bahasa Melayu klasik kepada bahasa yang
mempunyai nilai peradaban yang tinggi berlaku pada dua zaman iaitu zaman peralihan
(abad ke-19M) dan zaman moden (abad ke-20M) (Mahayudin Hj. Yahya, 1998: 91).
Tulisan Arab mulai diperkenalkan setelah kedatangan Islam. Dari segi bahasa
perubahan besar berlaku apabila masyarakat Melayu menyesuaikan perkataan Arab
kepada bahasa Melayu. Perubahan ini dipermudahkan setelah tulisan Arab diubahsuai
dan dikenali sebagai tulisan Jawi. Melalui sistem tulisan ini bahasa Melayu dapat
memainkan peranan lebih penting apabila digunakan untuk menulis kitab-kitab agama,
hikayat-hikayat, undang-undang dan pentadbiran.
Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar persuratan dan juga sebagai alat
penyebaran dan penyampaian Agama Islam di seluruh Alam Melayu. Tulisan jawi telah
digunakan oleh bahasa Melayu semasa permulaan kedatangan Islam. Antara factor
yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar penyebaran, penyampaian
persuratan Islam di Alam Melayu ialah sifat dalaman bahasa Melayu dan juga peranan
yang dimainkan oleh wilayah dan daerah Melayu di Sumatera dan di Semenanjung
Tanah Melayu dalam penyebaran Agama Islam ke seluruh kepulauan Melayu.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Agama Islam telah menaikkan
taraf, kecekapan dan kewibawaannya. Antara sumbangan terbesar Islam kepada
masyarakat di Alam Melayu adalah pengaruhnya terhadap perkembangan bahasa
Melayu. Sebagai bahasa komunikasi di Tanah Melayu, bahasa Melayu merupakan
aspek terawal menerima pengaruh Islam. Pemindahan ilmu berupa ajaran Islam
daripada al-Quran dan al-Hadith yang kedua-duanya dalam bahasa Arab berlaku dalam
gerakan dakwah secara langsung yang dijalankan oleh pendakwah-pendakwah dari
negara Arab, India dan China.
Pemindahan ilmu dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu telah menyebabkan
berlakunya perkembangan keilmuan yang pesat di Alam Melayu. Kedatangan Islam
mengangkat martabat bahasa Melayu ke arah mengungkapkan sesuatu yang bersifat
ilmiah dan saintifik sehingga mencapai taraf lingua franca yang digunakan secara
meluas di Alam Melayu. Terdapat penggunaan kata dari bahasa Arab yang dipinjam dan
digunapakai dalam bahasa Melayu.
Kedatangan Agama Islam juga telah membawa perubahan yang besar terhadap warisan
kesusasteraan Melayu. Banyak hasil kesusasteraan Melayu ditulis seperti Hikayat Nabi
Muhammad S.A.W Hikayat Para Nabi dan Rasul, Hikayat Para Sahabat, Hikayat Para
Pahlawan Islam dan Hikayat Ahli-ahli Sufi dan Orang-orang Yang Salih. Manakala puisi
terkenal yang dipengaruhi oleh sastera Islam contohnya ialah Syair Perahu, Syair
Burung Pingai oleh Hamzah Fansuri dan Syair Makrifat oleh Abdul Rauf Fansuri.
Melalui tulisan jawi agarna Islam telah dapat diperkembangkan. Bahasa dan
kesusasteraan Melayu juga berkembang melalui tulisan jawi. Dalam pada itu bahasa
Melayu itu telah diperkayakan dengan kata-kata pinjaman serta istilah daripada bahasa
Arab. Perkembangan ini dapat dilihat bukan sahaja dalarn kitab serta karya sastera
semasa pada zaman selepas itu, malah buku-buku Sejarah juga mempunyai tajuk asal
dalam bahasa Arab seperti Sulalatus Salatin, Tuhfat al-Nafis, Bustanus-Salatin dan lainlain
lagi (Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992: 28).
Kedatangan Islam ke Alam Melayu selain membawa perubahan dari sudut akidah, ia
juga membawa perubahan dari sudut kesusasteraan. Kesusasteraan Melayu bukan
sahaja mengalami perubahan dari aspek pendokumentasian, malah turut mengalami
perubahan dari aspek tema, bentuk, genre malah matlamat sastera itu sendiri. Para
sasterawan menghasilkan karya-karya yang sangat luas bidangnya bukan sahaja
bercorak fiksyen, tetapi turut meliputi cabang-cabang ilmu fekah, ilmu tasawwut ilmu
kalam, falsafah dan sebagainya (Ismail, 1985 : 101). Pelbagai hasil kesusasteraan
telah dipengaruhi oleh ajaran Islam yang bertemakan sejarah Islam atau ajaran Islam itu
sendiri. Antara contoh sastera prasa ialah Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan
Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Nabi Mikraj.